Sejarah Penubuhan

PENGENALAN

JAM’IYAH atau Pesekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan ialah sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dibawah Pendaftaran Pertubuhan dengan no. Pendaftaran PPM54 (Selangor). Sejak ditubuhkan JAM’IYAH bergerak cergas dan memainkan peranan sebagai organisasi dakwah di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

 

SEJARAH PENUBUHAN

JAM’IYAH mula ditubuhkan pada tahun 1932 di Singapura hasil inisiatif seorang ulama yang berasal dari Meerut, India bernama Maulana Shah Muhammad Abdul Aleem Siddiqi Al Qaderi dengan nama asalnya “Persekutuan Seruan Islam seMalaya”. Setelah JAMIYAH Singapura tertubuh, cawangan-cawangannya ditubuhkan di Pulau Pinang, Melaka dan Perak.

 

Inilah bangunan asal Masjid India Jalan Melayu yang pernah menjadi pusat aktiviti JAM’IYAH diperingkat awal
penubuhannya, sebelum berpindah ke Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur.

Pakatan untuk menubuhkan JAM’IYAH Selangor diadakan di Masjid Jamek Kuala Lumpur pada 24 Januari 1949. Antara yang hadir di dalam penubuhannya ialah Shah Maulana Muhammad Abdul Aleem Saddiqi, Ustaz Pateh Akhir (Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Selangor), Tuan Syed Nordin (Pegawai Daerah Kuala Lumpur), Encik Mohamad Baba (Hakim Pertama Mahkamah Kuala Lumpur), Encik Mohd Ali Taib, Encik Yahya Samad dan Encik Osman Basha.

Di peringkat awal ‘Persekutuan Seruan Islam seMalaya’ hanya merupakan cawangan JAMIYAH Singapura yang berpusat di Geylang. JAM’IYAH Selangor didaftarkan secara rasmi pada 12 Jun 1950 dengan menjadikan Masjid Jamek Jalan Mountbatten, Kuala Lumpur sebagai pejabat rasminya.

Namun begitu, oleh kerana ahli-ahlinya ketika itu ramai dari kalangan India Muslim, kegiatan dan perkumpulan para anggotanya diadakan di bangunan Masjid India, Jalan Melayu (ketika itu hanya bangunan kayu); sementara masyarakat Melayu yang terdiri dari kalangan orang-orang Jawa dan masyarakat Boyan mengadakan per kumpulannya di masjid Java Road (tapak bangunan stesen LRT Masjid Jamek ketika ini). Hanya pada awal tahun 60an apabila Tuan Haji Abdul Rashid Abdullah menjadi Setiausaha JAM’IYAH dan di masa yang sama beliau menjadi Setiausaha Masjid Jamek Kuala Lumpur semua kegiatan berpindah ke masjid berkenaan.

 

 Semasa Tuan Hj. Mohd. Rashid Abdullah menjadi Setiusaha Agung (1962, 1964 – 1975) pentadbiran JAM’IYAH telah berpindah ke Masjid Jamek Bandaraya, Jalan Tun Perak ini.

 


Tuan Maulana Shah Muhammad Aleem Siddiq Al-Qadell

Seorang muballigh yang dinamik dan produktif, telah menubuhkan Jamiyah di Singapura pada tahun 1931.

 

ANTARA JAM’IYAH DAN JAMIYAH

Selepas Singapura berpisah dari Malaysia pada tahun 1965, semua cawangan JAM’IYAH bergerak sendiri dengan menggunakan nama negeri masing-masing. Namun terus menjalin hubungan kerjasama dengan JAMIYAH Singapura.

Apabila Wilayah Persekutuan ditubuhkan, JAM’IYAH yang berpusat di Masjid Jamek Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur dikenali seBagai JAM’IYAH Dakwah Islamiah Selangor dan Wilayah Persekutuan atau Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan atau ringkasnya JAM’IYAH.

 

KEAHLIAN
Keahlian dibuka kepada semua kaum muslimin dan muslimat yang berumur sekurang- kurangnya 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun Bagi wanita dengan kategori seperti berikut:

Ahli Biasa – Untuk mereka yang bermukim di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan yuran keahlian RM 3.00 setahun;

Ahli Seumur Hidup – Terbuka untuk ahli biasa dengan yuran RM 100.00 sekali bayaran;

Ahli Bersekutu – Untuk mereka yang bermukim di luar Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan yuran RM 2.00 setahun;

Ahli Kehormat – mereka dilantik khas oleh JAM’IYAH biasanya dari kalangan tokok-tokoh Islam.

 

AKTIVITI

  • Menyediakan modul kursus mubaligh serta menyediakan pendakwah, penceramah dan fasilitator daripada pelbagai kepakaran bagi mengisi program JAM’IYAH sendiri dan program jemputan;
  • Menyediakan modul pengajian untuk orang-orang dewasa di masjid-masjid atau surau-surau yang berminat menganjurkan kelas pengajian serta pengajian al-Quran untuk kanak-kanak;
  • Menyediakan modul didik insan untuk para pelajar sekolah;
  • Menyediakan modul kursus pemahaman undang-undang kekeluargaan Islam, kursus kaligrafi, kraftangan dan sebagainya;
  • Menyediakan modul kesempurnaan remaja Islam (KESINAR) khusus untuk remaja puteri;
  • Mengadakan pelbagai lawatan dakwah ke daerah-daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan;
  • Membantu agensi kerajaan menguruskan pengislaman saudara kita (mualaf) dan seterusnya menjalan kursus untuk mereka bagi memantapkan pengetahuan Islam;
  • Menjadikan perkampungan orang Asli sebagai kampung angkat;
  • Menganjurkan program khusus sempena tarikh kebesaran Islam serta peristiwa-peristiwa penting dalam Islam dan juga ceramah-ceramah bulanan;
  • Menganjurkan seminar, ceramah, bengkel yang berkaitan dengan isu-isu dakwah, wanita dan remaja;
  • Menganjurkan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi untuk remaja;
  • Menganjurkan program kebajikan seperti sumbangan Hari Raya Aidilfirtri untuk fakir miskin, lawatan khidmat masyarakat ke hospital dan rumah-rumah orang tua serta program kebajikan untuk ahli secara berkelompok melalui dana patriot dan dana takaful.

 

 

TIGA ANUGERAH

JAM’IYAH telah dianugerahkan sebagai ‘Pertubuhan Paling Aktif’ sejak tahun 1950 oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, kementerian Dalam Negeri pada 12 Januari 2002. Sementara anugerah kedua ialah ‘Anugerah Badan Dakwah Terbaik’ sempena Sambutan Maal Hijrah tahun 1428H. Pada tahun 1432H/2010M pula, JAM’IYAH menerima anugerah Pertubuhan Dakwah Sukarela Negeri Selangor.

 

One Response to Sejarah Penubuhan

  1. isemaail says:

    alhamdulillah dengan adanya Jamiyah dapatlah para pendakwah berkumpul dan bergabung memacu kegiatan dakwah dalam negara kita dan tempat lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>