SEJARAH PENUBUHAN

JAM’IYAH mula ditubuhkan pada tahun 1932 di Singapura hasil inisiatif seorang ulama yang berasal dari Meerut, India bernama Maulana Shah Muhammad Abdul Aleem Siddiqi Al Qaderi dengan nama asalnya “Persekutuan Seruan Islam seMalaya”.

Setelah JAM’IYAH Singapura tertubuh, cawangan-cawangannya ditubuhkan di Pulau Pinang, Melaka dan Perak. Pakatan untuk menubuhkan JAM’IY AH Selangor diadakan di Masjid Jamek Kuala Lumpur pada 24 Januari 1949. Antara yang hadir di dalam penubuhannya ialah Shah Maulana Muhammad Abdul Aleem Saddiqi, Ustaz Pateh Akhir (Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Selangor), Tuan Syed Nordin (Pegawai Daerah Kuala Lumpur), Encik Mohamad Baba (Hakim Pertama Mahkamah Kuala Lumpur), Encik Mohd Ali Taib, Encik Yahya Samad dan Encik Osman Basha.

Di peringkat awal ‘Persekutuan Seruan Islam seMalaya’ hanya merupakan cawangan JAMIYAH Singapura yang berpusat di Geylang. JAM’IYAH Selangor didaftarkan secara rasmi pada 12 Jun 1950 dengan menjadikan Masjid Jamek Jalan Mountbatten, Kuala Lumpur sebagai pejabat rasminya. Namun begitu, oleh kerana ahli-ahlinya ketika itu ramai dari kalangan India Muslim, kegiatan dan perkumpulan para anggotanya diadakan di bangunan Masjid India, Jalan Melayu (ketika itu hanya bangunan kayu); sementara masyarakat Melayu yang terdiri dari kalangan orang-orang Jawa dan masyarakat Boyan mengadakan perkumpulannya di masjid Java Road (tapak bangunan stesen LRT Masjid Jamek ketika ini).

Hanya pada awal tahun 60an apabila Tuan Haji Abdul Rashid Abdullah menjadi Setiausaha JAM’IYAH dan di masa yang sama beliau menjadi Setiausaha Masjid Jamek Kuala Lumpur semua kegiatan berpindah ke masjid berkenaan.

Semua anggota dari berbagai kaum memainkan peranan. Aktiviti utama ketika itu ialah mengadakan kelas-kelas agama untuk masyarakat India, masyarakat Cina Muslim dan masyarakat Melayu. Guru-guru mengajar secara sukarela terutama di masjid India, masjid Java Road (masjid masyarakat Jawa dan Boyan) di masjid Jamek Jalan Mountbatten (kini Jalan Tun Perak).

Kewangan bergantung dari yuran ahli dan pungutan derma dari pintu ke pintu termasuk ke rumah-rumah kediaman. Selain itu tabung-tabung khas juga disediakan di restoran-restoran atau kedai-kedai. Masyarakat India Muslim paling ramai memberi sumbangan.

Pada hari-hari kebesaran terutamanya Maulidur Rasul, ahli-ahli JAM’IYAH ketika itu akan berusaha mengutip derma. Begitu juga ketika diadakan pesta MAHA di Jalan Klang Lama ahli-ahlinya akan mengambil peluang mengutip derma di pintu-pintu masuk tapak pesta berkenaan.

Selepas Singapura berpisah dari Malaysia pada tahun 1965, semua cawangan JAM’IYAH bergerak sendiri dengan meng- gunakan nama negeri masing-masing. Namun terus menjalin hubungan kerjasama dengan JAMIYAH Singapura.

1470195201Masjid-Jamek-Bandaraya.jpg-768x499

Apabila Wilayah Persekutuan ditubuhkan, JAM’IYAH yang berpusat di Masjid Jamek Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur dikenali sebagai JAM’IYAH Dakwah Islamiah Selangor dan Wilayah Persekutuan atau Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan atau ringkasnya JAM’IYAH.
Di era Tun Syed Nasir Ismail menjadi Yang Dipertua ke 10 dan Tuan Haji Mohd Rashid Abdullah menjadi Setiausaha Agung ke-7; dimana penaung JAM’IYAH ketika itu ialah YAB Haji Datuk Harun Idris (Menteri Besar Selangor), JAM’IYAH telah dikurniakan dua bidang tanah di kawasan “segi-tiga emas” iaitu di Lot 6 Jalan Raja Laut dan di Lot 203 Jalan Ipoh (kini Bangunan Darul JAM’IYAH).


Ketika Tan Sri Dato’ Haji Muhammad bin Haji Muhammad Taib menjadi Menteri Besar Selangor pula, JAM’IY AH telah memperolehi sumbangan sebanyak RM100,000 dari kerajaan Negeri Selangor dan sumbangan peribadi beliau sebanyak RM10,000 untuk membeli rumah kedai dua tingkat di No 6A, Jalan Niaga 16/3A, Seksyen 16, Shah Alam, Selangor.
Setelah berjaya memiliki bangunan setinggi 4 1⁄2 tingkat di Lot 203, Jalan Rahmat, off Jalan Ipoh dengan harga RM1.6 juta (siap pada tahun 2000); ternyata bangunan berkenaan juga tidak dapat menampung berbagai kegiatan JAM’IYAH.


JAM’IY AH perlu mempunyai dewan seminar serba guna yang lebih besar, dewan-dewan kuliah yang lebih selesa, kamar-kamar musafir, pusat penyelidikan, pusat komunikasi ICT yang mempunyai rangkaian alami serta lain-lain kemudahan sesuai dengan usianya yang melebihi separuh abad.


Keperluan kepada mega semakin mendesak selaras dengan harta semasa yang dimiliki yang perlu dibangunkan secara seiring dengan persekitaran kota yang serba madani.
Terletak di lokasi yang strategik, dengan keluasan kira-kira 25,542 kaki persegi di Lot 6 Jalan Raja Laut (bersebelahan bangunan DBKL), beberapa pihak telah pun mengemukakan pelan bangunan kepada JAM’IYAH bagi dibangunkan secara kerjasama.