Perutusan Yang Dipertua JAM’IYAH

ALUAN DARIPADA YANG DIPERTUA

Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakaatuh

Alhamdulillah, syukur kita panjatkan kehadhirat Ilahi atas segala limpah kurnia nikmat dan rahmatnya kepada kita. Kita wajib bersyukur atas taqdirNya yang memberi hidayat dan petunjukNya hingga kita beriman dan hidup di bawah payung syariatNya. Nikmat yang tidak terkira dan terhitung itu mudahan dilanjutkan sebagai nikmat haqiqi, iaitu nikmat yang berlanjutan hingga ke alam barzakh dan akhirat.

KEIKHLASAN

Apa pun amalan kita, yang nampak pada zahirnya sebagai peribadatan, akan dinilai oleh Allah mengikut keikhlasan kita dalam mencari keredhaanNya. Mudahan kita tidak tergolong dalam golongan yang beramal tetapi rugi dalam amalan, iaitu mereka yang tidak mengikhlaskan diri dalam amalan tersebut tetapi dirosakkan oleh sifat mazmumah seperti riak, sumaah dan ujub. Niat adalah rahsia diri dengan Allah, yang tidak dapat dihetong oleh makhluk. Lantaran itu hubungan kita dengan Allah mestilah bersih dan murni dalam mencari keredhaan dan kesukaanNya.

AMAL SOLEH

Allah menjelaskan bahwa keimanan yang berpaksikan kepada rukun yang enam itu mestilah disertai dan dibuktikan dalam bentuk amalan. Amal soleh yang juga disebut sebagai amal maaruf amatlah luas dan banyak jenisnya.Ia bermula dari pelaksanaan amal yang wajib yang menjadi rukun Islam hinggalah kepada amalan sunat yang digalakkan. Dalam banyak amal soleh selalu dirangkaikan solat dan zakat. Satu rangkaian yang padu antara hubungan dengan Allah dengan hubungan sesama manusia.Lantaran itulah Islam meletakkan pertimbangan tentang keutamaan amalan untuk kita memulakan dari yang wajib kepada yang sunat selanjutnya yang harus. Amalan yang haram mesti ditinggalkan dan dijauhi sementara yang makruh sebaik baiknya ditinggalkan. Semua nya ini menunjukkan Islam mempunyai satu sistem pemilihan dan saringan dalam perancangan dan tindakan dalam semua urusan kehidupan. Allah mengurniakan akal sebagai syarat taklif atau pertanggungjawapan kepada amalan agama dan diperteguhkan dengan ilmu yang benar dan betul hasil peninggalan dari nabi kita Muhammad SAW iaitu alquran dan sunnahnya.

MUHASABAH

Adalah menjadi satu amalan baik bagi kita untuk sentiasa bermuhasabah tentang diri dan amalan kita. Sentiasa mencari jalan untuk melakukan pembaikan dan penambahan kepada sesuatu yang baik dan berusaha serta berjihad meninggalkan amalan buruk hasil dari sifat mazmumah yang masih mencengkam hati budi kita. Semua amalan mesti berlandaskan ilmu yang hak, yang benar yang datangnya dari pemahaman kandungan dan isi alquran dan sirah nabawiah. Menuntut ilmu bukan sekadar menambah data dari apa yang telah kita ketahui tetapi juga untuk menyisihkan apa yang tidak benar dari maklumat dan pemahaman kita . Dalam dunia IT dewasa ini lunggukkan maklumat sentiasa mencurah datangnya yang memerlukan kita mempunyai asas dan kebijaksanaan dalam menerima dan menggunakannya.

DAKWAH MAYA

Saloran menyampaikan maklumat dan dakwah telah berkembang pantas dengan teknologi IT. Kecanggihan teknologi baru ini adalah ibaratkan senjata tajam yang boleh digunakan untuk sembelihan secara cepat agar binatang korban tidak tersiksa, namun ia boleh juga digunakan oleh penjenayah bagi membunuh mangsanya. Pemilihan dan keputusan terletak ditangan kita. Nampaknya kita tidak ada pilihan lain selain dari menguasai teknologi dan saloran ini serta menggunakannya bagi menyebarkan kebaikan, dakwah dan peringatan.

DOA DAN IKHTIAR

Kita berdoa mudah mudahan Allah menambah ilmu dan kemampuan diri kita dalam menggunakan saloran ini dan berikhtiar sebaik mungkin bagi memaksimakan munafaatnya kepada ummah.

Yang Benar,

Tuan Haji Zakariah Bin Isa

Yang Dipertua JAM’IYAH